Thursday, May 22, 2008

Berita Harian Khamis 2 Mei 2008

MUTAKHIR
Beberapa jalan utama sekitar bandaraya ditutup Sabtu dan Ahad ini

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama di sekitar bandaraya akan ditutup kepada lalu lintas sempena Larian Muziumthon 2008 dan RMAF Half Marathon pada Sabtu dan Ahad ini. Timbalan Ketua Trafik Kuala Lumpur, DSP Ng Fook Long hari ini berkata, jalan berkenaan akan ditutup secara berperingkat mulai jam 6.30 pagi hingga 9 pagi. Jalan yang terbabit dalam Larian Muziumthon pada Sabtu ini yang bermula dan berakhir di Muzium Negara ialah Jalan Damansara, Bulatan Hishamudin, Jalan Kinabalu, Jalan Raja, Jalan Parlimen dan Jalan Persiaran Mahameru.
Bagi Larian RMAF Half Marathon pada Ahad yang akan bermula dan tamat di Pangkalan Tentera Udara Kuala Lumpur, jalan terbabit ialah Lebuh Raya KL-Seremban, Jalan Istana, Jalan Hang Tuah, Jalan Tunku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Jalan Syed Putra, Lebuh Raya Salak, Jalan Lapangan Terbang Lama, Jalan Istana Baru, Jalan Syed Putra, Jalan Robson, Jalan Kerayong dan Jalan Belamy. Ng berkata, seramai 100 anggota dan pegawai trafik akan ditugaskan mengawal lalu lintas pada kedua-dua hari itu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Orang ramai dinasihat mematuhi papan tanda dan arahan polis semasa kedua-dua acara itu berlangsung, katanya.